Saturday, November 20, 2010

saje je nie!!!



Assalamualaikum wbt.
Pasti semua pernah mendengar kisah Hang Nadim sejak zaman sekolah rendah lagi, benar? Hasil kematangan fikiran anak muda ini, dengan izin Allah, Temasek terselamat daripada kemelut gugatan todak yang menyerang perairan pulau itu. Malangnya, kebijaksanaan serta kematangan anak muda ini ditafsirkan dengan jalur pemikiran yang begitu ekstrim sehingga menganggap ia suatu ancaman kepada negara. Akhirnya Hang Nadim dihukum bunuh.
Ingat Usamah bin Zaid? Cucu angkat Rasulullah yang sangat disayangi baginda. Bayi kecil yang menceriakan hari-hari Baginda tatkala dihimpit duka. Usia muda tidak menghalang Usamah untuk turun berjihad bersama Rasulullah ketika Perang Uhud. Menangis beliau kerana tidak diterima Rasulullah untuk berperang atas usia yang terlalu muda. Tatkala semboyan Perang Khandaq berbunyi, berkejar lagi Usamah untuk berjihad. Berdiri tegap di hadapan Rasulullah agar diterima. Akhirnya, baginda mengizinkan Usamah untuk bersama berjihad tatkala usia baru mencecah 15 tahun.
Terus menelusuri tokoh penting Khilafah Uthmaniah iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh. Pada usia 20 tahun, baginda Sultan telah berjaya menakluk Constantinople dan membebaskannya daripada cengkaman raja Kristian yang kejam. Ia menepati sabda Rasulullah S.A.W iaitu:
“Sesungguhnya Constantinople akan dibebaskan oleh sultan yang baik dan rakyat yang baik.”
Lama Sangat Nak Hidup
Begitulah tafsiran matang buat anak-anak muda yang sebenarnya. Pernahkah kita bertanya siapakah kita pada usia 15 tahun. Masih lagi kanak-kanak hingusan di bangku sekolah mungkin? Siapakah kita pada usia 20 tahun? Masih terkinja-kinja, terkontang-kanting mengejar dunia hedonisme mungkin? Rasulullah SAW sudah bernikah dengan wanita yang lebih tua daripadanya ketika berusia 25 tahun. Siapa kita ketika itu? Anak muda yang masih terkebil-kebil tatkala menyedari dunia nyata jauh berbeda dengan fantasi mereka di menara gading dahulu?
Lama sangatkah hidup kita ini untuk membuang masa bersama teman wanita yang belum tentu menjadi isteri, teman ke syurga? Asyik bermain game hingga solat ditinggalkan begitu sahaja.  Leka dengan komik dan kartun. Bersenja di padang bola. Fardhu ain masih belum dikuasai.  Akidah masih tidak difahami! Tergamakkah pada usia lewat 20-an kita mempersoalkan kesahihan Al-Quran? Mempersoalkan kewujudan tuhan? Mengaku Agnostic (you know who =P)! Berapa lama masa lagi yang diperlukan untuk mengenal Allah?
Boleh Dimaafkan?
Usia 5 hingga 7 tahun mungkin boleh diampunkan untuk perkara-perkara sebegini. Ketika itu huruf pun masih tidak diketahui, apatah lagi membaca. Tuhan masih belum dikenali, pedulikan sahaja dosa dan pahala. Kita masih tidak tahu, apakah Islam dan Iman.
Namun tatkala usia lewat belasan tahun, tidak munasabahlah kelakuan keanak-anakan tersebut masih menjadi tabiat. Anak-anak muda kini memaknakan ‘matang’ itu dengan unsur material. ‘Matang’ itu ‘hebat’. Mereka berlumba-lumba mahukan diri mereka disebut-sebut sebagai hebat oleh manusia sekelilingnya. Mahu digelar hebat kerana pandai berlumba motor, hebat kerana pandai menyanyi, hebat kerana lawaknya disukai ramai, hebat kerana kecerdikan keputusan peperiksaannya, hebat kerana ramai wanita jatuh hati padanya, hebat kerana memiliki jawatan tinggi seusia mudanya, hebat kerana memiliki kenderaan mahal, hebat kerana pakaiannya berjenama, hebat sana dan hebat sini. Tetapi apabila ditanya tentang isu semasa, perihal agama, atau masalah dunia, mengangkat bahu tidak ambil tahu.
Sudah Baligh
Sedang baligh itu diertikan dosa dan pahala sudah dipikul sendiri, apakah kita masih tidak mengerti? Bak kata Asy Syahid Imam Hasan Al-Banna:
“Tanggungjawab kita lebih banyak daripada masa yang ada.”
Generasi terdahulu sudah sedar makna hidup adalah perjuangan. Lalu masih adakah lagi masa untuk lentok di atas riba wanita bukan muhrim, meratap apabila calon bintang tersingkir daripada rancangan realiti TV kegemaran dan bertukar-tukar teman wanita/lelaki? Lalu bila lagi nak matang? Perlu ditangguhkan usia baligh?
18 13 Bila lagi Nak Matang?
18 14 Bila lagi Nak Matang?
“Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran.” (Al-Kahfi:13-14)

coretan buat sahabt dan sahabiah,,,,,,,,


Assalamualaikum wbt,

Buat sahabat yang jauh di sana, akhi fillah.

Semoga dirimu sentiasa berada dalam payungan rahmah, keimanan dan inayah-Nya. Semoga dirimu dan diriku terus berada dalam lingkungan proses pembersihan hati dan sentiasa akrab untuk terus bersama Allah SWT. Sesungguhnya, persaudaraan kita ini adalah persahabatan untuk menuju syurga Allah SWT.

Mesej kirimanmu telahku tatapi, hayati, dan fahami. Syukran kerana sudi menjalinkan ukhuwah ini. Syukran dan jazakallahu khairan khatira atas kesudian menjadi teman dan sahabat seperjuanganku.

Aku, diri ini bukanlah insan yang layak berbicara dan layak untuk memberi kata-kata mahupun tulisan nasihat. Diri ini juga masih perlukan bimbangan, nasihat dan tunjuk ajar daripadamu. Namun, atas permintaan mu aku gagahi jari jemari ini mencoretan nukilan ini khusus buatmu.

Kau pernah berpesan kepadaku : “ Jika diriku lemah, maka –sahabat- bangkitkan diriku semula, jangan sahabat, jangan tinggalkan ku bersendirian tatkala imanku lemah tersungkur dipukul badai tsunami mehnah.”

Bingkisan yang tidak seberapa ini sebenarnya adalah buat diri ini. Anggaplah ia untuk diriku dan buat dirimu jua – wahai sahabat -

Ya, diri yang hina, dhaif dan dipenuhi kekurangan dan kelemahan. Dan kesempatan ini marilah sahabat kita :-

(1) Ikhlaskan niat dan hati kita seluruhnya dalam beramal kerana Allah SWT. Segala bentuk penilaian amalan diterima atau tidak terletak di sini. – Belajarlah untuk ikhlas dan beristiqamahlah dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

(2) Slogan kita di dalam membentuk diri menjadi mukmin yang soleh ialah perbaiki diri dan serulah orang lain. Ia harus dibumikan dalam hayah ini.


(3) Menuntut ilmu itu penting –wahai sahabat- , gigihlah dan tekunlah dalam proses pembejalaran. Matlamat kita harus jelas, terang dan nyata. Bergeraklah untuk menjadi insan yang pakar di dalam sesuatu bidang pengkhususan.

(4) Proses tarbiyah kita menuntut supaya kita sentiasa meningkat, bergerak dan proaktif. Sibukan diri dengan segala bentuk aktiviti pentarbiyahan dan pastikan tarbiyah ruhiyah tetap berjalan, berlaku dan hidup dalam setiap nadi kehidupan kita. Amalan fardu kita mantapkan dan amalan sunnah kita perbanyakan. Semoga hati kita semakin hidup, segar dan subur dengan cahaya keimanan kepada Allah SWT.

(5) Tarbiyah tanpa dakwah, ia akan mematikan kita malah ia akan menstatikan kita. Kita hanya menyolehkan dan membaiki diri kita sahaja. Nikmat kefahaman ini harus disebarkan. Perkasakan dakwahmu, dan gerakan seluruh kemampuan untuk menyampaikan risalah ini dengan penuh hikmah dan hasanah.


(6) Berjihadlah bersungguh-sungguh dalam medan ilmu. Berjihadlah juga dalam melawan hawa nafsu terhadap keinginan-keinginan dunia. Pesan seorang murabbiku : “ Wahai anak-anak ku, janganlah kalian menyimpan hasrat untuk mencintai dunia. Hindarilah hati kalian daripada kecintaan dan kemabukan terhadap dunia. Kerana mencintai dunia akan membuatkan kalian jauh daripada Allah SWT”

(7) Berdoalah dalam munajat solat tahajud mu. Wahai sahabat, pohonlah ketetapan, keistiqamahan dan kekuatan dalam mengikhlaskan diri untuk Allah SWT. – Lazimi ia untuk kesejahteraan hatimu.


(8) Akhirnya sahabat, semoga dirimu terus mencintai, merindui dan mendambakan keredhaan Ilahi. Semoga persahabatan dan persaudaraan kita akan membawa kita dalam ruh ukhuwah ini sehingga ke Syurga yang inda abadi.

Sekian, sahabat. Terimalah coretan dan bingkisan ini seadanya.

Ku lampirkan ia dengan penuh pengharapan, dan keyakinan bahawa ia benar-benar akan memberikan manfaat buat kita semua.

Semoga kita akan terus tetap dalam jalan yang lurus ini. Mudahan kita semua berada dalam limpahan keredhaan-Nya sehingga akhir hayat nanti.

Sekian, sahabat. Dari hati tulus ini ku nukilkan buat sanubarimu yang jernih itu.

Sekian,

Yang memerlukan doamu,

Sahabatmu Fillah