Wednesday, October 26, 2011

Air Mata Seorang Lelaki

SADIS

Air mata seorang lelaki,
Andai mengalir kerana kecewa dengan cinta wanita,
Maka hilanglah sifat pemimpinnya.
Air mata seorang lelaki,
Andai mengalir kerana kecewa dengan dunia,
Maka hilanglah sifat redhanya.


Air mata seorang lelaki,
Andai mengalir kerana tidak sanggup melihat kesusahan orang tuanya,
Maka terbitlah sifat belas ehsannya.
Air mata seorang lelaki,
Andai mengalir kerana terluka,
Maka hilanglah sifat kekuatannya.
Air mata seorang lelaki,
Andai mengalirnya kerana takutkan Allah S.W.T,
Maka bergembiralah,
Kerana air mata yang sedikit itu mampu,
Memadamkan api neraka kelak.
Rasulullah S.A.W telah bersabda:
"Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."
Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari Kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.
Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata:
"Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."
Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan kerana sehelai rambut.
Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari Kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya.
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
"Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jathiyah ayat 28)
Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh lima ratus tahun perjalanan.
Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan:
"Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku."
Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad S.A.W berusaha menghalanginya dengan berkata:
"Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."
Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata,:
"Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W"
Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah S.A.W meraihnya. Berkata Jibril A.S.:
"Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya."
Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu. Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S:
"Wahai Jibril, apakah air itu?"
Maka Jibril berkata:
"Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T."
Telah bersabda Rasulullah S.A.W:
" Ya Allah, anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."

biodata penulis
Lepasan Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur 2007/2008.

Muhammad Hatta bin Mohamad Zoidin
Kini menuntut di UTM Kuala Lumpur.

Tuesday, October 18, 2011

UJUB ZAMAN MODEN



“Dan tidaklah seseorang bersikap tawadhu’ karena Allah, kecuali Allah akan mengangkatnya.” (HR. Muslim no. 2588)



Kita selalu dengar tentang ujub. Ujub adalah suatu penyakit hati yang bermaksud hairan akan diri sendiri (TERPESONA DENGAN KEBAIKAN DIRI). Ujub merupakan titik tolak kepada penyakit hati yang lebih besar seperti riyak (menunjuk-nunjuk) dan takabbur (membesarkan diri sendiri).


Sifat-sifat ini tidak layak ada pada manusia. Hanya Allah SWT sahaja yang layak memiliki sifat ini kerana Allah-lah yang mencipta sekalian alam dan pemilik segala kekuatan. Maka, tidak salah bagi Allah SWT untuk merasakan diri-Nya hebat, menunjuk-nunjuk kehebatan-Nya, dan mengagungkan diri-Nya.



Manusia yang ujub merasakan dirinya hebat. Contohnya, seseorang itu berasa ujub apabila dia berdoa lebih lama daripada orang lain, berasa ujub apabila sujud lebih lama daripada orang lain, berasa ujub apabila sedekah lebih banyak daripada orang lain. Mudah cerita, bisikan yang terlintas di hati berbunyi seperti "Uishh... aku sujud lebih lama daripada dia...".



Perkembangan teknologi di zaman moden ini berkembang dengan pesat. Perasaan ujub ini juga mengalir mengikut aliran arus semasa. Penyakit hati ini akan meresap bersama-sama pesakit dan mengikuti perkembangan teknologi. Berikut merupakan sedikit sebanyak contoh-contoh ujub zaman moden...


1. Blog dan Followers


Rasa diri kita hebat apabila ramai followers. Ribuan atau ratusan followers menyebabkan kita rasa diri kita hebat. Tak salah untuk kita berasa seronok dengan ramainya followers. Tapi seronok atas dasar apa? Seronok kerana dapat mencurahkan ilmu kepada ribuan atau ratusan followers atau seronok kerana melihat JUMLAH yang banyak?



2. Like di Facebook


Post status kat wall. Lepas tu ramai pula yang 'like'. Bila dah ramai yang like, mulalah rasa diri tu hebat dan rasa syok sekejap. Awas! Tak salah nak rasa gembira apabila orang lain suka apa yang kita lakukan, tapi janganlah sampai merasa hairan akan diri sendiri



3. Komen di Facebook


Mungkin juga kita akan rasa ujub apabila ramai yang memberikan tindakbalas yang memberangsangkan pada post kita di facebook. Bila ramai sangat, mungkin bibit-bitit perasaan ujub akan mula lahir.



4. Komen Gambar di Facebook


Perkara ni mungkin berlaku pada lelaki yang kacak dan perempuan yang cun sahaja. Apabila cun atau kacak, ramailah yang komen. Tak kurang juga yang puji. Bila dah banyak sangat terima pujian, mulalah rasa semacam dan syok pada pujian tu. Maka, perasaan ujub pun senang-senang boleh diterbitkan.



6. Ramainya Kawan atau Peminat di Facebook


Jumlah sekali lagi memainkan peranan penting bagi syaitan untuk menghasut manusia untuk berasa ujub. Ramai rakan maya di facebook juga membolehkan perasaan ujub diterbitkan. Itu baru kawan. Apa lagi peminat artis yang mencecah jumlah ratusan ribu, malahan jutaan orang. Apabila ramai orang yang meminati artis tersebut, mungkin perasaan ujub akan muncul. Hati-hati!



7. Berdakwah di Facebook


Mungkin ramai kawan kita yang merapu di Facebook. Sebagai orang yang merasa dirinya wajib untuk berdakwah, maka Facebook dijadikan medan untuk berdakwah di tengah-tengah rakan Facebook yang banyak merapu. Maka, jadilah kita orang yang terpencil, kerana tidak merapu, sedangkan yang lain banyak yang merapu. Apa yang dibimbangkan di sini, apabila kita berdakwah, kita turut akan berasa hairan akan diri sendiri. Awas, wahai da'ie!



Jadi, awaslah!


Semoga kita dilindungi Allah daripada penyakit-penyakit hati ini. Amin Ya Rabb...

SUMBER: http://thesahabat04.blogspot.com/