Assalamualaikum wbt,
Buat sahabat yang jauh di sana, akhi fillah.
Semoga dirimu sentiasa berada dalam payungan rahmah, keimanan dan inayah-Nya. Semoga dirimu dan diriku terus berada dalam lingkungan proses pembersihan hati dan sentiasa akrab untuk terus bersama Allah SWT. Sesungguhnya, persaudaraan kita ini adalah persahabatan untuk menuju syurga Allah SWT.
Mesej kirimanmu telahku tatapi, hayati, dan fahami. Syukran kerana sudi menjalinkan ukhuwah ini. Syukran dan jazakallahu khairan khatira atas kesudian menjadi teman dan sahabat seperjuanganku.
Aku, diri ini bukanlah insan yang layak berbicara dan layak untuk memberi kata-kata mahupun tulisan nasihat. Diri ini juga masih perlukan bimbangan, nasihat dan tunjuk ajar daripadamu. Namun, atas permintaan mu aku gagahi jari jemari ini mencoretan nukilan ini khusus buatmu.
Kau pernah berpesan kepadaku : “ Jika diriku lemah, maka –sahabat- bangkitkan diriku semula, jangan sahabat, jangan tinggalkan ku bersendirian tatkala imanku lemah tersungkur dipukul badai tsunami mehnah.”
Bingkisan yang tidak seberapa ini sebenarnya adalah buat diri ini. Anggaplah ia untuk diriku dan buat dirimu jua – wahai sahabat -

(1) Ikhlaskan niat dan hati kita seluruhnya dalam beramal kerana Allah SWT. Segala bentuk penilaian amalan diterima atau tidak terletak di sini. – Belajarlah untuk ikhlas dan beristiqamahlah dengan penuh kesabaran dan ketabahan.
(2) Slogan kita di dalam membentuk diri menjadi mukmin yang soleh ialah perbaiki diri dan serulah orang lain. Ia harus dibumikan dalam hayah ini.
(3) Menuntut ilmu itu penting –wahai sahabat- , gigihlah dan tekunlah dalam proses pembejalaran. Matlamat kita harus jelas, terang dan nyata. Bergeraklah untuk menjadi insan yang pakar di dalam sesuatu bidang pengkhususan.
(4) Proses tarbiyah kita menuntut supaya kita sentiasa meningkat, bergerak dan proaktif. Sibukan diri dengan segala bentuk aktiviti pentarbiyahan dan pastikan tarbiyah ruhiyah tetap berjalan, berlaku dan hidup dalam setiap nadi kehidupan kita. Amalan fardu kita mantapkan dan amalan sunnah kita perbanyakan. Semoga hati kita semakin hidup, segar dan subur dengan cahaya keimanan kepada Allah SWT.
(5) Tarbiyah tanpa dakwah, ia akan mematikan kita malah ia akan menstatikan kita. Kita hanya menyolehkan dan membaiki diri kita sahaja. Nikmat kefahaman ini harus disebarkan. Perkasakan dakwahmu, dan gerakan seluruh kemampuan untuk menyampaikan risalah ini dengan penuh hikmah dan hasanah.

(7) Berdoalah dalam munajat solat tahajud mu. Wahai sahabat, pohonlah ketetapan, keistiqamahan dan kekuatan dalam mengikhlaskan diri untuk Allah SWT. – Lazimi ia untuk kesejahteraan hatimu.
(8) Akhirnya sahabat, semoga dirimu terus mencintai, merindui dan mendambakan keredhaan Ilahi. Semoga persahabatan dan persaudaraan kita akan membawa kita dalam ruh ukhuwah ini sehingga ke Syurga yang inda abadi.
Sekian, sahabat. Terimalah coretan dan bingkisan ini seadanya.
Ku lampirkan ia dengan penuh pengharapan, dan keyakinan bahawa ia benar-benar akan memberikan manfaat buat kita semua.
Semoga kita akan terus tetap dalam jalan yang lurus ini. Mudahan kita semua berada dalam limpahan keredhaan-Nya sehingga akhir hayat nanti.
Sekian, sahabat. Dari hati tulus ini ku nukilkan buat sanubarimu yang jernih itu.
Sekian,
Yang memerlukan doamu,
Sahabatmu Fillah
No comments:
Post a Comment