“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?”
Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku,
Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat
wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan
sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak
sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang
tercari-cari identiti diri.
Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu,
aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia
yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku
semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan
keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman
bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan
jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana
aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.
Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin
saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab
satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan
yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor
(kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian
selamanya harum dalam ingatan.
Yang Tertutup Itu Indah
Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima,
“Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat
59, maksud dan tafsirannya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada
isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin,
‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu
supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”
Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula
bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang
bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul.
Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain
yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga
cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat.
Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya
diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.
Istimewa Bertudung Labuh
Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa
yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku
yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak
kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.
Dikejar Tebuan Tanah
Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang
fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku
mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan
doa dimulakan.
Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar
sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta
itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit
ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir.
Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.
Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung
labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa
peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera
kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku.
Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk
ini.
Terlindung daripada Mata Mat Rempit
Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan
semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha
mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi
mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang
lelaki asing di sebelah.
Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki .
Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di
Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke
alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan
aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di
kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.
Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa
merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika
berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas
meninggalkanku.
Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun,
tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood
seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang
untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah
terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.
Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang.
Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap.
Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak
jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi.
Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar
di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.
Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk
mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang
akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.
“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang
asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan
nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri
masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.
Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang
berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan
ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu
kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran
yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah
hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk
menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada
wajahku yang berkulit cerah.
Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang
berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak
menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah
lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku
siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan,
menyerah tidak sekali!
Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu
sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan.
Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke
arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat
mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan
itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan
memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan
Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah
menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!
Menyelamatkan Beg Tanganku
daripada Ragut
Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana.
Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia
menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.
Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret.
Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran.
Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.
Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil
menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak
beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku
bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru
aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg
tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya
kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah
mereka menjadi mangsa ragut?
Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh
Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi
akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati
penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin
tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat
menerima pinangan.
Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih
bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung
labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan
agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk
memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu
membaiki diri terlebih dahulu.
Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan
lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis
bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh.
Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana
penampilannya itu melambatkan jodohnya.
Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun,
realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita
mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui
luarannya. Contoh realiti, jika
kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama
ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang
wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih?
Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya
dahulu? Apa nilaian kita ketika itu?
Fikir-fikirkan.
Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat
Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang
bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.”
“Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana
kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi
secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh
terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik
menemui jawapannya.
.............................................
Sejak kecil, Abah sangat melarang saya memakai tudung tiga segi yang labuhnya
sedikit cuma dari bahu. Tapi kerana biah saya di MRSM yang mewajahkan tudung
labuh sebagai jumud, saya protes.
Saya mula bertudung labuh dengan kerelaan sendiri sejak mendaftarkan diri ke
Matrikulasi pada 15 Mei 2006. Dimulakan dengan tudung empat segi bidang 60.
Kenapa saya melabuhkan tudung?
Saya takut melihat iklan-iklan dan tayangan di televisyen tentang mahasiswi di
IPT. Pakaian ketat, pergaulan bebas. Itulah bayangan saya tentang universiti.
Jesteru, saya mahu tudung menjadi perisai diri, secara tidak langsung sebagai
tanda 'Hey, treat me like a proper muslimah!'
Tudung Sebagai Pelindung
Boleh kata setiap hujung minggu saya perlu keluar ke negeri-negeri lain sewaktu
menuntut dulu. Pasti, kenderaan awam seperti bas dan keretapi akan saya guna.
Tudung labuh bulat akan saya kenakan bila bermusafir dengan kenderaan awam. Ia
banyak menyelamatkan saya.
Dalam bas atau keretapi, selalunya lelaki tak akan duduk disebelah saya. Yang
peliknya, dia boleh selamba duduk dengan perempuan lain. Mungkin dia segan pada
penampilan saya. Alhamdulillah, selamat.
Kalau naik keretapi waktu puncak di KL Sentral atau lebih lagi di Bank Negara,
saya tak risau dihimpit lelaki. Ramai yang akan beri ruang kepada saya, dan
mereka tak berani untuk merapat. Alhamdulillah, selamat!
Tudung Labuh Sebagai Pemberi Hormat
Percaya atau tidak, saya dan rakan-rakan pernah diberi tempat duduk di dalam
keretapi, hanya kerana kami bertudung labuh dan berjubah, sedangkan lebih ramai
manusia sedang berdiri.
Bila membeli belah, peniaga akan menjaga tangan mereka sewaktu menghulurkan
wang baki. Lucu juga, tapi itulah tandanya dia hormat.
Tudung Labuh Sebagai Warden
Satu hal saya perasan, pakaian akan mengawal tingkah laku saya. Bila saya
memakai T-Shirt dan seluar, saya suka berlagak lelaki. Hatta di dalam rumah
sekali pun.
Tapi bila memaki tudung labuh, berjubah atau baju kurung, saya rasa lebih
feminin. Langkah saya lebih terjaga, tidak melompat ke sana ke mari.
Ya, tidak dinafikan ada sahaja sebilangan bertudung labuh yang akhlaqnya lebih
teruk dari yang tidak bertudung. Tapi sekurangnya dia berani untuk bermujahadah
dengan persepsi orang terhadapnya, sekurangnya dia telah selesai bahagian
auratnya.
Moga tindak tanduk kita semuanya digerakkan oleh Allah.,
sekadar perkonsian dari seorang teman kepad temanku yg lain,so sebarkan yew
ILMU+AMAL+SEBAR